Kisah yang ingin saya kongsikan ini berlaku semasa saya ingin pulang ke kampung semasa cuti Tahun Baru Cina. Saya menaiki bas yang lebih awal daripada waktu yang sepatutnya. Cuma ada beberapa kerusi sahaja yang kosong dan kedudukannya di belakang sekali. Saya tidak ada pilihan lain. Saya terus duduk di sebelah seorang mak cik. Di sebelahnya ada seorang kanak-kanak perempuan. Menurut mak cik itu, kanak-kanak itu adalah anaknya. Katanya lagi anak itu meragam kerana tidak dibelikan kek yang disukainya. Kasihan pula saya melihat mak cik itu. Bersungguh-sungguh dia memujuk anak yang merajuk itu. Mak cik itu bercerita kepada saya bahawa dia baru pulang dari Hospital Kuala Lumpur kerana membawa anaknya mendapatkan rawatan. Anaknya yang berusia 10 tahun itu menghidap barah otak. Menurutnya lagi, anaknya menderitai penyakit itu sejak berusia 6 tahun lagi. Anaknya pernah menjalani pembedahan, tetapi doktor tidak membuang ketumbuhan di otak anaknya kerana ia sangat merbahaya dan mendatangkan risiko. Saya rasa sangat simpati melihat kanak-kanak itu. Dalam usia yang muda dia terpaksa menanggung kesakitan yang amat berat. Kata makcik itu lagi, setiap kali selesai menjalani rawatan, emosi anaknya akan menjadi tidak stabil, sensitif dan mudah merajuk. Akhirnya setelah dipujuk, anaknya kembali ceria. Namun dia tidak banyak bercakap. Saya perhatikan wajahnya yang comel. Sekilas pandang, dia tidak kelihatan seperti kanak-kanak yang sakit. Sayu hati saya melihatnya. Betapa kuatnya semangat kanak-kanak itu menjalani kehidupan walaupun menganggung penyakit yang serius. Sesekali saya melihat dia tertawa. Saya cuba untuk berbual dengannya tetapi dia malu. Setiap kali bertentang mata dengan saya dia akan melarikan pandangannya. Namun saya perasan, apabila saya berpura-pura tidur, dia pula yang memerhatikan saya. Saya hanya tersenyum melihat telatahnya. Dalam hati saya, saya rasa kagum terhadap kanak-kanak itu. Andai saya berada di tempatnya, belum tentu lagi saya mampu untuk menghadapi dugaan sehebat itu. Saya muhasabah diri sendiri. Sedangkan dugaan kecil pun sudah cukup untuk membuat saya menangis dan kadang-kadang juga membuat saya berputus asa. Tapi saya melihat kanak-kanak itu masih mampu untuk tersenyum. Kanak-kanak itu telah membuka mata dan fikiran saya untuk menjadi manusia yang lebih tabah dalam menjalani kehidupan. Saya tidak tahu adakah saya masih berpeluang untuk berjumpa dengannya lagi. Saya hanya mampu mendoakan agar kanak-kanak itu dapat sembuh dari penyakitnya dan menjalani kehidupan dengan lebih gembira.
Monday, February 9, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment